Setiap pinjaman akan dipantau oleh MARA, PPPKM dan PBT. Sasaran peminjam terdiri dari usahawan kecil Melayu. Ini termasuklah mereka yang sedang dan akan berniaga. Skop pinjaman merangkumi pelbagai kategori peniaga antaranya kiosk makanan, kiosk aksesori, pasar malam, bazar malam, gerai-gerai makanan dan minuman, stall kekal atau bergerak juga kepada peniaga-peniaga kecil jalanan yang komited.
Apa yang menarik ialah kali ini kerajaan telah menaruh kepercayaan kepada PPPKM untuk turut serta bersama-sama kerajaan memantau bakal-bakal peminjam demi memastikan sasaran dan objektif kerajaan tercapai. Presiden PPPKM Datuk Ramli Norani memaklumkan bakal-bakal peminjam akan melalui saringan daripada YDP PPPKM Negeri demi memastikan calon terbabit benar-benar layak dan berkemampuan untuk memajukan perniagaan mereka seterusnya berintegriti untuk membayar balik pinjamanan. Seterusnya bayaran balik yang diterima oleh kerajaan itu akan digunakan semula untuk memberi pinjaman kepada lain-lain calon yang layak. Pusingan pinjaman inilah yang diharapkan kerajaan dapat melahirkan lebih ramai usahawan Melayu.
Menurut Datuk Ramli, kriteria utama pemilihan calon ialah mereka mesti berdaftar sebagai ahli PPPKM. Sehingga kini ahli PPPKM berjumlah lebih kurang 500 ribu orang terdiri dari peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja kecil Melayu di seluruh negara. PPPKM akan membuat pemantauan berterusan terhadap peniaga-peniaga yang meminjam dalam skim usahawan dinamik ini termasuk 6 bulan terawal sebagai pemantauan wajib!. Khidmat nasihat dan motivasi percuma akan dibuat demi memastikan setiap peminjam mempunyai sikap jati diri berniaga.
Pembiayaan maksimum RM10 ribu dikeluarkan meliputi kos untuk pembelian peralatan seperti mesin-mesin, stok bahan mentah, pengubahsuaian premis serta modal pusingan. Seperti kata YB Dato' Seri Hj. Mohd. Shafie Hj. Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah " UK Dinamik ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menambahbaik bantuan dan pembiayaan yang ditawarkan kepada peniaga Bumiputera (Peniaga dan penjaja kecil Melayu)". Apa yang diharapkan kerajaan ialah kesan daripada pelaksanaan UK Dinamik ini ialah ia akan memberi impak positif dengan kelahiran 10 ribu usahawan kecil di seluruh negara. Daripada itu kerajaan berharap dapat pula melahirkan 1,000 usahawan kecil yang berjaya dan berpendapatan tinggi. Peruntukan RM50 juta itu hanyalah peringkat permulaan.
Pengerusi MARA, YB Dato' Idris Jusoh berharap peminjam mempunyai keinginan yang tinggi untuk membayar balik mengikut jadual yang ditetapkan. Ini untuk memastikan calon-calon lain dapat manfaat daripada pembayaran balik yang baik itu untuk mereka pula mendapatkan pinjaman. Dato' Idris berkata MARA sebagai pelaksana agenda Bumiptera sentiasa menyediakan peluang kepada peniaga-peniaga kecil Melayu untuk meningkatkan taraf perniagaan mereka.
Program UK Dinamik ini mewujudkan kerjasama strategik antara kerajaan melalui MARA, PPPKM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta NGO berkaitan. MARA sebagai penyedia dana, bimbingan, pemasaran, perundingan, pemantuan dan groombing PPPKM/NGO sebagai penyaringan calon peminjam, penempatan, rangkaian kumpulan, perjalanan dan ejen pemantuan manakala PBT sebagai penyediaan perlesenan, penempatan dan kemudahan infrastruktur persekitaran.
Presiden PPPKM mengariskan mekanisma pinjaman ialah melalui saringan awal oleh PPPKM Negeri. Ahli-ahli PPPKM yang ingin menyertai UK Dinamik dikehendaki membuat permohonan kepada PPPKM Cawangan. PPPKM Cawangan akan membuat saringan awal sebelum menghantar permohonan calon ke PPPKM Negeri. PPPKM Negeri akan menghantar permohonan ke pejabat MARA Negeri/Daerah. Seterusnya permohonan diproses oleh MARA Negeri/Daerah untuk kelulusan segera. Mana-mana calon yang layak mendapat pinjaman pula akan dipantau oleh PPPKM Negeri/Cawangan terbabit untuk pemantauan sebaik saja pinjaman dikeluarkan.
0 ulasan:
Catat Ulasan