Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

" MESYUARAT AJK NEGERI BIL 1/2016 PADA 07HB JAN, 2016. Lokasi - pejabat PPPKMNS. Jam 02:30pm"

HARI PENJAJA DAN PENIAGA PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

Selasa, 17 Disember 2013 · 0 ulasan
HARI PENJAJA DAN PENIAGA PERINGKAT NEGERI SEMBILAN






PELUANG NIAGA

Sabtu, 16 November 2013 · 0 ulasan
Berikut saya lampirkan sesalinan email yang saya terima lewat 11 Nov lalu untuk perhatian ahli-ahli PPPKMNS khasnya dan para pembaca laman blog PPPKMNS ini amnya. 


Salam Tuan Hj Zubir & En.Tajol Ariffin Hasan,
Permohonan Kerjasama: Menganjurkan Kursus Memborong Terus Dari Negara Sumber. 

Saya Ahmad Ramdan Bin Johari sebagai Pengarah daripada Syarikat Dazra Ventures ingin menganjurkan Kursus Memborong Terus Dari Negara Sumber (China) dengan kerjasama pihak PPPKMNS. 

Kursus ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para usahawan di negara ini kepentingan mendapatkan bekalan dengan harga yang paling rendah tanpa bergantung kepada orang tengah. Objektif kursus ini dijalankan adalah untuk mengajar kaedah bagaimana memulakan langkah pemborongan dari awal hingga akhir pemborongan dan menekankan kepenting bidang pemborongan kepada usahawan. 

Teknik borong ini mampu memberi penjimatan yang tinggi kepada usahawan dan mampu memberi hasil keuntungan yang berlipat-kali ganda. Sebarang informasi dan maklumat mengenai kursus ini, boleh menghubungi saya dan pihak kami berbesar hati sekirannya permohonan kami ini diterima dan segala jasa baik daripada pihak Puan, kami ucapkan jutaan terima kasih. 

*Di sini saya sertakan kertas kerja kepada pihak tuan. 

Terima kasih. -- AHMAD RAMDAN BIN JOHARI 
Consultant & Trainer DAZRA VENTURES (002232918-M) 
Unit 509, Level 5, Menara Maxisegar, 
Jalan Pandan Indah 4/2, 55100, 
Pandan Indah, Kuala Lumpur 

WEBSITE : www.dazra.com 
 EMAIL : support@dazra.com 
 H/P : 6019 296 7063

SEKITAR KURSUS PEMANTAPAN PENJAJA DI KUALA PILAH

Sabtu, 9 November 2013 · 0 ulasan
Gambar sekitar aktiviti PPPKMNS di Dewan Bahaman Kuala Pilah.

Henti buka kedai dalam rumah

Isnin, 28 Oktober 2013 · 0 ulasan

Tidak ada lagi kompromi atau pujuk rayu terhadap pemilik rumah yang menjadikan kawasan kediaman sebagai tapak berniaga terutama berkaitan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, perbuatan itu terbukti menyusahkan penduduk sekitar dan mengundang bahaya seperti yang berlaku dalam kejadian kebakaran di Taman Panchor Jaya, di sini baru-baru ini.

"Saya mahu semua pihak berkuasa tempatan mengadakan penguatkuasaan dan menggempur secara besar-besaran serta mengarahkan tutup apa yang mereka panggil 'kedai makan' dalam kediaman di taman perumahan ini.

"Arahan akan kita keluarkan segera bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini serta menyusahkan penduduk lain," tegasnya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menutup rezeki orang atau individu yang hendak berniaga tetapi perlu dijalankan di tempat yang sudah disediakan dengan lesen yang sah.

"Pihak berkuasa tempatan akan mengenal pasti kedai makan mahupun warung dalam kediaman ini dan pastikan tidak lagi beroperasi di situ. Kita percaya banyak yang tidak berlesen dan tidak memenuhi kriteria. Ini akan diarah tutup serta-merta.

"Hal ini melibatkan keselamatan orang awam dan ada kepentingan melibatkan semua penduduk. Banyak yang perlu fikirkan, keselesaan penduduk, keselamatan mereka dan kebersihan," jelasnya.

Tambah Jalaluddin, tindakan itu bukannya untuk menghalang peniaga untuk mencari rezeki sebaliknya mereka boleh berniaga dan menyewa di premis yang sesuai demi keselamatan umum.

Dalam kejadian pukul 1.46 petang semalam, sebuah 'kedai makan' ala Barat di Taman Panchor Jaya, Fasa 6, di sini musnah dalam kebakaran.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Zakaria Ahmad, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian dapur 'kedai makan' dalam kediaman berkenaan.

"Bomba telah mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran sebelum berjaya memadamnya dalam tempoh 20 minit. Tiada kecederaan mahupun kehilangan jiwa berlaku dalam kejadian ini," katanya.

Kredit kepada : © Utusan Melayu (M) Bhd

KURSUS PEMANTAPAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

Jumaat, 25 Oktober 2013 · 0 ulasan
PERSATUAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL MELAYU NEGERI SEMBILAN (PPPKMNS) dengan kerjasama KPDNKK di bawah agensi-agensinya (MARA dan SSM) serta TEKUN, BSN, PUNB, SME Corp, AKPK, SKM menganjurkan Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Sembilan. Kursus ini akan diadakan di Dewan Dato' Bahaman, Kuala Pilah dan dijangka akan dirasmikan oleh YB Dato' Hasan Malek selaku Menteri KPDNKK.

Aturcara majlis :

08:00 pagi - Pendaftaran Peserta/Minuman Ringan

09:00 pagi - Sesi 1 : Keperluan pendaftaran dan faedah mendaftarkan perniagaan. Penceramah - Tn. Hj. Mohd Hamdan Mohd Jaffar (SSM)

09:45 pagi - Sesi 2 : Pengurusan kewangan dan aliran tunai. Penceramah - Dr. Hajjah Jamilah Din (MKM)

10:30 pagi - Sesi 3 : Ke arah pemantapan Bisnes yang mampan. Penceramah - En. Andrian Shah (PNS)

11:15 pagi - Sesi 4 : Pembiayaan kepada penjaja dan peniaga kecil. Penceramah - Pn. Zuraidah Mat Jinal (TEKUN)

12:00 tgh - Upacara rasmi :
  • Lagu Negaraku
  • Bacaan Doa
  • Ucapan dan majlis pelancaran oleh YB Dato' Hasan Malek, Menteri KPDNKK


01:00 tgh - Makan tengah hari dan solat zuhur

02:00 ptg - Sesi 5 : Ceramah motivasi dan usahawan berjaya. 
03:00 ptg - Sesi 6 : Dialog mengenai peluang dan pembangunan perniagaan
  • Ahli Panel terdiri dari :
  • Pengerusi - KPDNKK
  • Panel - Bank Rakyat, MyIPO, AIM, Jab. Kesihatan Negeri Sembilan, MARA, BSN, PUNB, Tekun, SME Corp, AKPK, SKM, Persatuan Penjaja (PPPKMNS)


04:30 ptg - Minum petang dan bersurai

Makluman.
Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti khidmat kaunter agensi-agensi terlibat.

Perluas promosi TEKUN kepada Orang Asli

Isnin, 14 Oktober 2013 · 0 ulasan
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) disaran mengadakan lebih banyak penerangan terutama di perkampungan Orang Asli bagi membolehkan lebih ramai anggota masyarakat itu mendapat pinjaman untuk menjalankan perniagaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program penerangan mengenai pinjaman TEKUN perlu diperluas kepada masyarakat Orang Asli kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui mengenai kewujudan pinjaman perniagaan itu.

"Situasi itu menyebabkan bilangan Orang Asli yang meminjam dengan TEKUN terlalu kecil iaitu 195 orang daripada 273,000 peminjam seluruh negara membabitkan dana sebanyak RM2.8 bilion.

"Justeru, saya berharap TEKUN akan turun padang seberapa kerap yang mungkin bagi membuat penerangan agar masyarakat Orang Asli amnya lebih faham dan membuat pinjaman bagi mewujudkan budaya keusahawanan di kalangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan dan Keusahawanan Parlimen Bera dan Pelancaran Program Pembangunan Ekonomi Masyarakat Orang Asli di Majlis Daerah Bera, Padang Luas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Datuk Abdul Rahim Hassan dan Ahli Dewan Negara, Datuk Muhammad Olian Abdullah.

Menurut Ismail Sabri, TEKUN juga akan menempatkan para pegawainya di perkampungan Orang Asli yang mempunyai bilangan penduduk ramai bagi memudahkan peminjam membuat urusan pinjaman atau pembayaran.

"Mulai tahun ini peminjam TEKUN di kalangan Orang Asli tidak akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak empat peratus sebagai usaha menggalakkan mereka memohon pinjaman bagi menjalankan perniagaan.

"Malah, syarat pinjaman sedia ada juga dilonggarkan dalam usaha memberi kemudahan kepada mereka," jelasnya.

Kredit kepada Utusan Malaysia

Mara ambil tujuh langkah jayakan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera

· 0 ulasan

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil tujuh langkah segera bagi menjayakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tujuh bidang yang akan diberikan keutamaan segera oleh Mara adalah meningkatkan mutu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), memperkasakan peranan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), meningkatkan penajaan pelajar cemerlang ke luar negara dan melaksanakan Dana Pendidikan Mara RM1 bilion.

Katanya, keutamaan juga adalah menggalakkan kontraktor bumiputera bekerjasama dengan Mara melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike), memberi nafas baru kepada Amanah Saham Mara dan mewujudkan program keusahawanan yang lebih intensif.

"Langkah-langkah strategik ini merupakan reaksi daripada Mara terhadap apa yang digariskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

"Langkah proaktif perlu diambil bagi menjayakan agenda tersebut dan Mara mendapati kesemua bidang yang dinyatakan tadi merupakan bidang dan sektor yang dilihat mendatar dan memerlukan lonjakan baharu," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Annuar, tujuh penekanan utama tersebut mesti dilaksanakan bermula Januari tahun depan dan beliau memberi tempoh tiga bulan kepada pegawai-pegawai Mara di semua peringkat untuk membuat persiapan bagi menjayakannya.

"Pelaksanaan segera tujuh bidang ini akan dimulakan pada Januari tahun depan dan harus diuruskan dengan cara yang baharu dengan semua pejabat Mara di setiap negeri termasuk di ibu pejabat mempunyai sistem 'walk-in' yang membolehkan semua pihak dapat berurusan dengan pegawai Mara.

"Saya mahu membuang stigma yang mengaitkan bahawa Mara merupakan sebuah agensi yang sukar berunding dan eksklusif. Jadi menerusi konsep terbuka ini diharapkan semua orang dapat menikmati manfaat dari setiap inisiatif yang diwujudkan sekali gus objektif penubuhan Mara dapat dicapai," katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, penumpuan tujuh bidang tersebut adalah permulaan kepada pelan pembangunan Mara untuk tempoh jangka panjang bermula 2015 hingga 2025.

"Ketika ini program-program yang dijalankan Mara adalah berasaskan pelan jangka masa pendek yang akan berakhir pada 2015. Jadi, penting untuk Mara memerlukan sebuah pelan tindakan yang lebih besar dan berjangka panjang, sehubungan itu satu blue print yang baharu perlu digubal," katanya.


Kredit kepada Utusan Malaysia

MaGIC galak keusahawanan

Sabtu, 12 Oktober 2013 · 0 ulasan
Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya bagi merancakkan lagi kegiatan keusahawanan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, kewujudan pusat tersebut adalah bersesuaian dengan fungsi Cyberjaya yang menempatkan syarikat-syarikat yang bergiat dalam bidang multimedia kreatif, penyelidikan dan pembangunan, khidmat luaran serta pengurusan data.

Menurut beliau, MaGIC bakal menjadi pusat sehenti kepada usahawan merangkumi segenap aspek termasuk permohonan pembiayaan kepada institusi perbankan serta penyaluran modal teroka kepada syarikat inkubator serta syarikat baharu yang berdaya maju.

"Kegiatan lain adalah pendaftaran harta intelektual dan penyediaan kemudahan latihan, bimbingan serta pementoran," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Kali Keempat di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry yang mewakili Presiden AS, Barack Obama; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sidang kemuncak yang bermula hari ini hingga esok itu dihadiri lebih 4,000 peserta yang mewakili lebih 100 negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan turut berhasrat untuk melihat MaGIC menjalinkan kerjasama dengan Pusat Kegiatan Keusahawanan yang diilhamkan penubuhannya oleh Obama.

Terdahulu, Kerry dalam ucapannya menjelaskan secara ringkas tentang hasrat Obama untuk mewujudkan jawatankuasa bagi mengendalikan pusat tersebut yang bakal diketuai Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Penny Pritzker.

Perdana Menteri juga memaklumkan Malaysia berbangga menjadi tuan rumah program Usahawan Muda Global pada bulan depan.

Najib turut menyarankan enam prinsip yang boleh diambil oleh negara-negara yang menghadiri GES bagi menyediakan persekitaran yang kondusif terhadap kegiatan keusahawanan.

Beliau memberitahu, kegagalan perlu dilihat dari pendekatan berbeza agar para usahawan bersikap lebih berani untuk mencuba sesuatu yang dianggap mustahil untuk dilakukan.

"Negara seperti AS melihat kegagalan ketika memulakan perniagaan sebagai satu pengalaman yang berguna dan walaupun negara lain mempunyai tradisi yang berbeza, prinsip asas menggalakkan orang ramai untuk berusaha tanpa rasa takut terhadap kegagalan diterima secara meluas," ujarnya.

Sebagai contoh, kata Najib, Malaysia bersedia mengkaji semula dan menyelaraskan undang-undang kebankrapan bagi mengukuhkan jaringan keselamatan yang memberi ruang kepada para usahawan untuk pulih semula.

Selain itu, Perdana Menteri memberitahu, dua prinsip lain yang seharusnya diberi tumpuan oleh kerajaan adalah penggubalan dasar yang menggalakkan inovasi dan penyediaan dana bagi membiayai penyelidikan.

Tiga lagi prinsip yang ditekankan oleh Najib adalah mempermudahkan usaha memulakan perniagaan, meneruskan pelaburan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di semua peringkat dan berusaha ke arah memperluaskan integrasi serantau serta antarabangsa.



Kredit kepadaUtusan Malaysia

SENARAI ORANG TERKAYA DI MALAYSIA 2013

Selasa, 8 Oktober 2013 · 0 ulasan
Jumlah aset terkumpul 40 individu terkaya di Malaysia meningkat sebanyak 0.86% iaitu daripada RM193.2 bilion tahun 2012 kepada RM194.86 bilion pada tahun ini. Pada tahun ini jumlah bilionaire di Malaysia adalah seramai 31 orang dan dalam senarai 40 individu terkaya, 23 daripadanya mencatatkan kenaikan aset berbanding tahun lepas.

Berikut adalah senarai dan profil ringkas 10 individu terkaya di Malaysia bagi tahun 2013 yang dikeluarkan oleh majalah Forbes.

1) Robert Kuok Hock Nien
  • Dilahirkan pada 6 Oktober 1923 di Johor Bahru.
  • Merupakan pemilik syarikat Kerry Group/Kuok Group.
  • Mencatatkan peningkatan aset sebanyak 0.88% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini : RM46.1 Bilion


2) T. Ananda Krishnan
  • Dilahirkan pada tahun 1938 di Brickfields, Kuala Lumpur.
  • Merupakan Pengerusi & CEO Usaha Tegas Group Holdings Bhd.
  • Mencatatkan penurunan aset terbesar iaitu sebanyak 23.5% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini : RM32.90 Bilion


3) Tan Sri Teh Hong Piow
  • Dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930.
  • Merupakan Pengerusi Public Bank Berhad.
  • Mencatatkan peningkatan aset sebanyak 8.62% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini: RM13.73 Bilion


4) Tan Sri Quek Leng Chan
  • Dilahirkan pada tahun 1941 di Singapura.
  • Merupakan Pengerusi Hong Leong Group.
  • Mencatatkan peningkatan aset terbesar sebanyak 38.63% berbanding tahun lepas.
  • Naik 2 anak tangga berbanding tahun 2012.
  • Jumlah aset terkini: RM11.09 Bilion


5) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
  • Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1952.
  • Merupakan pengasas Al-Bukhary Foundation
  • Mencatatkan peningkatan aset sebanyak 11.23% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini: RM10.60 Bilion


6) Tan Sri Lee Shin Cheng
  • Dilahirkan pada tahun 1929 dan membesar Kuala Lumpur.
  • Merupakan Pengerusi Eksekutif IOI Group.
  • Mencatatkan penurunan aset sebanyak 7.04% berbanding tahun lepas.
  • Turun 2 anak tangga berbanding tahun 2012.
  • Jumlah aset terkini: RM10.56 Bilion


7) Tan Sri Lim Kok Thay
  • Dilahirkan pada tahun 1951, merupakan anak kedua mediang Tan Sri Lim Goh Tong.
  • Merupakan Pengerusi Genting Group.
  • Mencatatkan kenaikan aset sebanyak 7.12% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini: RM8.12 Bilion


8) Puan Sri Lee Kim Hua
  • Dilahirkan pada tahun 1918 di China , merupakan balu kepada mediang Tan Sri Lim Goh Tong.
  • Merupakan pemilik Genting Group.
  • Mencatatkan kenaikan aset sebanyak 10.03% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini: RM7.24 Bilion


9) Tan Sri Tiong Hiew King
  • Dilahirkan pada tahun 1935 di Sibu, Sarawak.
  • Merupakan Pengerusi Eksekutif Rimbunan Hijau Group.
  • Mencatatkan penurunan aset sebanyak 0.94% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini: RM6.35 Bilion


10) Ong Beng Seng
  • Dilahirkan di Sabah pada tahun 1944.
  • Merupakan Pengasas Bersama & Pengarah Urusan Hotel Properties Ltd.
  • Mencatatkan penurunan aset sebanyak 18.29% berbanding tahun lepas.
  • Jumlah aset terkini: RM4.02 Bilion


NOTA.
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary masih lagi merupakan satu-satunya usahawan Melayu yang mampu menempatkan diri dalam senarai 10 terkaya di Malaysia ini. Walaupun begitu, 4 orang usahawan Melayu ini turut berjaya mencatatkan nama mereka dalam senarai 20 terkaya di Malaysia.

  1. Tan Sri Azman Hashim -Arab Malaysian Corp – RM3.84 Billion (Tempat ke-11)
  2. Datuk Mokhzani Mahathir – Sapura Kenchana – RM2.67 Billion (Tempat ke-13)
  3. Datuk Shahril Shamsuddin – Sapura Group – RM1.64 Billion (Tempat ke-19)
  4. Datuk Shahriman Shamsuddin – Sapura Group – RM1.64 Billion (Tempat ke-20)


Menurut BERNAMA lagi, menjelang 2015 nanti, jumlah individu terkaya akan bertambah lebih sekali ganda dari 32,000 orang kepada 68,000 orang. Jumlah nilai bersih masing-masing juga dijangka meningkat sebanyak RM434 bilion sehingga RM 1.023 Trilion pada tahun 2015 nanti.

KADAR PINJAMAN MIKRO KEPADA PENJAJA KECIL AKAN DINAIKAN

Sabtu, 5 Oktober 2013 · 0 ulasan
Kadar pinjaman mikro untuk peniaga dan penjaja kecil di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan ditingkatkan, berbanding RM3,000 ketika ini.

Berita baik itu pastinya melegakan kira-kira 1.5 juta peniaga dan penjaja kecil seluruh negara, termasuk 850,000 yang mendaftar dengan kementerian berkenaan. 

Menterinya, Datuk Hasan Malek, berkata perkara itu dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini, dan beliau akan memberikan perincian mengenai kemudahan Skim Pinjaman Mikro Penjaja dan Peniaga Kecil yang kini disalurkan KPDNKK melalui Bank Rakyat. 

Bantu peniaga kecil

Saya tahu RM3,000 ini terlalu kecil, jadi kita tunggu Bajet nanti. Apa yang boleh kita bantu, kita bantu cuma dari segi perinciannya saya akan terangkan selepas Bajet tetapi saya memang bersimpati dan bersetuju atas pandangan dan rintihan mereka (peniaga dan penjaja kecil) supaya kadar RM3,000 itu dinaikkan. 

Begitu juga koperasi dan francais yang ada bantuan kita akan dapat turunkan kepada peniaga, apatah lagi Perdana Menteri sudah umum soal memperkasakan ekonomi Bumiputera yang saya lihat sebahagian daripada peruntukan ini, katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa dan Kempen Kesedaran Pengguna Bersama Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Datuk Omar Ahmad. 

Kelompok peniaga dan penjaja kecil adalah mereka yang memperoleh hasil jualan tahunan di bawah RM200,000. 

Omar dalam ucapannya menyuarakan sungutan ahli yang menganggap kadar pinjaman RM3,000 itu terlalu kecil hingga mahu membuka gerai burger sekalipun tidak mencukupi. 

Hasan berkata, beliau maklum masalah itu dan berusaha meningkatkan kadar termasuk memohon peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta daripada Kementerian Kewangan melalui bajet kali ini bagi membolehkan pinjaman skim pinjaman mikro berkenaan diperbesarkan.

5 AGENDA MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA

Ahad, 15 September 2013 · 0 ulasan


Fokus Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
    • Memperbanyakkan Program Latihan Peningkatan Kemahiran
    • Mempergiatkan Program Latihan Semula atau Re-Skilling.
    • Mempergiatkan Skim Latihan 1Malaysia, Program Kebolehpasaran Graduan dan Program Peneraju Skil.
    • Memperluaskan Program Pendidikan Lepas Ijazah melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA dan agensi berkaitan
    • Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) diperluaskan.
Fokus Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
  • Melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dengan suntikan pelaburan 10 bilion unit saham.
  • Mentransformasikan program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) melalui Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS).
Fokus Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
  • Memperkemaskan Yayasan Wakaf Malaysia
  • Memperkukuhkan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad(PHB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri.
  • Memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan Kerajaan Negeri.
  • Perkukuhkan UDA Corporation untuk membangunkan hartanah.
  • GLC yang terlibat dalam pembangunan hartanah memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera.
Fokus Pemerkasaan Keempat: MEMPERHEBATKAN KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
  • Memperkuatkan peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB.
  • Menambah pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta.
  • Menambah pembiayaan pinjaman kepada TEKUN Nasional sebanyak RM700 juta.
  • Mengarahkan kementerian dan agensi mengukuhkan Program Pembangunan Vendor
  • Memastikan jangkamasa kontrak dan konsesi vendor disesuai dengan tempoh bayar balik pinjaman bank.
  • Melonjakkan program VDP di bawah PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Axiata dan United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM)
  • Ketua Pegawai Eksekutif GLC menetapkan sasaran penyertaan Bumiputera sebagai KPI.
  • Program VDP PETRONAS RM20 bilion setahun dan 22 skop kerja untuk Bumiputera.
  • GLC dan GLIC menerajui usaha mengwujudkan konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor rangkaian perbekalan.
  • Mempergiatkan program penswastaan perkhidmatan Kerajaan secara terpilih
  • Memperluaskan dasar carve out.
  • Membina satu komuniti baru entrepreneur Bumiputera.
  • Memperkenalkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB).
Fokus Pemerkasaan Kelima: MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
  • Mewujudkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, komprehensif dan konstraktif
  • Mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) di semua kementerian.
  • Meningkatkan enrolmen pelajar UiTM kepada 250,000 menjelang 2020.
  • Menubuhkan beberapa kampus baru UiTM.
  • Menubuhkan dana pendidikan MARA berjumlah RM1 bilion.
  • Membestarikan TERAJU
  • Mewujudkan komuniti entreprenuer Bumiputera.
  • Meletakkan INSKEN dan SUPERB di bawah TERAJU
  • Menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera

Teks ucapan PM Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera

Sabtu, 14 September 2013 · 0 ulasan
BERIKUT adalah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Pemerkasa Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor: 

Bismillahirrahmannirrahim 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 


1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada perjuangan Melayu dan Bumiputera yang tiada pernah hentinya. 

2. Terlebih dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk terus menerajui kepimpinan negara. Apa yang lebih mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88. 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

3. Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun tohmahan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh lima tahun akan datang, demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini. 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

4. Setelah selesai Pilihan raya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan hala tuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita. 

5. Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan, Yes indeed! We hear you, we hear you loud and clear. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

6. Sejak negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963, Sabah dan Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia. Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua, kita akan menyambut genapnya 50 tahun, perayaan jubli emas Malaysia, yang InsyaAllah akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota Kinabalu. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

7. Menyonsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus penduduk. Orang Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik. 

8. Semasa Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua juga kira Melayu, malah muallaf bertakrif Melayu, waima Mamak dan Malabari pun sudah serap ke Melayu. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

9. Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, 7.6 peratus bilangan daripada rakyat keseluruhannya. Unjuran terkini, setakat 2012, menganggarkan warga negara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang, yang mana Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9 peratus. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

10. Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b. 

11. Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

12. Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik-baik oleh semua pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020. 

13. Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan saja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

14. Tawarikh dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan pro-aktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

15. Jika dihimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB telah diperkenalkan pada tahun 1971, oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayahanda saya, untuk menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei 1969. 

16. Begitulah Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan. 

17. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

18. Sejak merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi demi Melayu dan Bumiputera, antaranya, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR. Perdana Menteri Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkan Permodalan Nasional Berhad dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional. 

19. Seperti yang kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, yakni Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

20. Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi. 

21. Selain itu, secara dasarnya, Model Baru Ekonomi memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan atau growth with equity, bagi mempastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara. 

22. Manakala, Rancangan Malaysia Ke-10, bermula pada tahun 2011 yang lalu hingga 2015 nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini, adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

23. Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus. 

24. Apa yang ingin saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah amat penting, kerana, pertama, dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia. 
Tuan-tuan dan Puan-Puan, 

25. Melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah meningkat. Misalnya, pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera telah naik daripada 172 ringgit pada tahun 1970-an kepada 4,457 ringgit pada tahun 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam jangkamasa 42 tahun. 

26. Kadar kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970-an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012. Pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970-an kepada 23.5 peratus pada tahun 2011. 

27. Selain itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional, terutamanya golongan bertauliah seperti doktor-doktor perubatan, para jurutera dan para peguam sudah menghampiri peratusan komposisi kaum. 

28. Ini membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah awal telah berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. Jelasnya, sepanjang lebih empat dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

29. Namun begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang ketaksamaan pendapatan antara etnik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah satu kepada 1.43 kali ganda. 

30. Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Effective control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada sekitar 10 peratus. Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro. 

31. Lantaran yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini , maka, pada hari ini, Kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas. 

32. Perjumpaan penuh bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Masyarakat Bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi utama. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Fokus Pemerkasaan Pertama : Mendaya Modal Insan Bumiputera 

33. Seperti kita maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam dalam negeri dan luar negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan pasaran. 

34. Untuk tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan. 

35. Dalam aspek ini juga, program re-skilling akan dipergiatkan. Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan. Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif. 

36. Kedua, kepada golongan graduan Bumiputera yang menganggur pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah. 

37. Ketiganya, bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi. 

38. Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera, Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Fokus Pemerkasaan Kedua : Memantapkan Pemilikan Ekuiti Bumiputera Dalam Sektor Korporat 

39. Sehingga kini, had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru, bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham. 

40. Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Fokus Pemerkasaan Ketiga : Memperkukuh Pemilikan Aset Bukan Kewangan Bumiputera 

41. Bumiputera masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial. Sebagai contoh, dalam tahun 2012, transaksi rumah kediaman yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan nilainya hampir 18 bilion ringgit atau 26 peratus. 

42. Pada sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan secara teratur atau terbiar menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi rendah. Justeru, bagi mengoptimakan nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat. 

43. Peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutamanya di lokasi strategik di seluruh negara. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

44. Di samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat Bumiputera untuk memiliki rumah adalah rendah dan ditambah lagi dengan harga pasaran rumah yang semakin meningkat. Ke arah memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. 

45. Manakala menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan, bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera semakin meruncing. 

46. Lantaran itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkan untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar. 

47. Bersabit hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Fokus Pemerkasaan Keempat : Memperhebat Keusahawanan Dan Perniagaan Bumiputera 

48. Sebagaimana kita maklum, perniagaan dan keusahawanan merupakan aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Walau bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan tersebut masih rendah disebabkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi termasuk teknologi pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses kepada dana dan modal serta pasaran produk yang terhad. 

49. Dalam mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana pula, peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang menerima akan bertambah, termasuk di Sabah dan Sarawak. 

50. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300 juta ringgit untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu orang pada tahun 2015 kelak. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

51. Pada kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana tambahan sejumlah RM700 juta kepada TEKUN Nasional. Bilangan usahawan TEKUN Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270,000 pada tahun 2013, kepada 370,000 pada tahun 2015. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

52. Bagi menyahut keluhan usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses ke pasaran, maka, saya akan mengarahkan semua Kementerian dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah berasaskan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan mampan. 

53. Seiring dengan itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar. 

54. Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor tenaga, manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

55. Dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini juga, saya mahukan semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang dianugerahkan kepada vendor. Ini wajiblah dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kepada CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing. 

56.Sehubungan itu, suka saya kongsikan dalam sektor minyak dan gas antara sekarang sehingga tahun 2017, PETRONAS sedang dan akan menjalankan beberapa projek utama dalam sektor upstream dan downstream. Melalui projek-projek tersebut, kita merangkakan supaya syarikat-syarikat Bumiputera mendapat manfaat daripada kontrak yang bernilai RM20 bilion setiap tahun untuk kerja-kerja perkhidmatan di sektor upstream dan downstream. 

57. Jangka hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya mengambil masa selama 25 tahun atau lebih. Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop kerja kritikal bakal diwujudkan dan dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera. 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

58. Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang berpotensi dan mempunyai nilai tambah tinggi. Dalam konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat. 

Tuan-Tuan dan Puan-puan, 

59. Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi pemangkin bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya. Oleh itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS akan mengambil inisiatif untuk mengenalpasti secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera. 

60. Sebagai langkah untuk mempastikan peluang syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk bersaing pada masa hadapan pula, dasar Carve-out akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain di bawah kementerian serta GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam projek MRT di mana sebanyak 47 peratus atau RM9 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera terpilih secara meritokrasi. 


61. Sebagai contoh, empat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

62. Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu mempunyai minat yang tinggi serta passionate dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau. 

63. Untuk tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik dinamakan sebagai Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau ringkasnya SUPERB akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat start-up. Bagi tujuan itu, dana sebanyak RM100 juta akan diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun. 

64. SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga RM500,000 kepada entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar. 

65.Pemilihan entrepreneur-entrepreneur Bumiputera ini adalah berdasarkan merit dan akan dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur di kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru yang terpilih akan turut mendapat perkhidmatan mentoring daripada entrepreneur yang sudah berjaya tersebut. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Fokus Pemerkasaan Kelima : Memantapkan Ekosistem Penyampaian Perkhidmatan 

66. Sebagaimana yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi. Oleh itu, bagi mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian akan diperkemas dan diperkejap untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif dan konstruktif. 

67. Untuk itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

68. Menjiwai kepentingan dan perjuangan Bumiputera, saya ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan. 

Bahawasanya: 

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

69. Wasiat ini sangat terang lagi bersuluh. Ia telah menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan Sarawak pabila Malaysia dibentuk 50 tahun yang lalu. 

70. Kendati pun begitu, bagi pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak, agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa. 

Ladies and Gentlemen, 

71. Certainly! We are doing what is fair, we are doing what is right, and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain. 

72. Sayugia, yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana kekayaan baru. Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat diraih serta dirasai oleh semua golongan sebagai rakyat Malaysia secara adil dan saksama. 

73. Bahkan, kerukunan kita telah diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai negara paling stabil dan aman di dunia, Begitulah istimewa dan uniknya Malaysia. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

74. Pucuk pangkalnya, hendak saya pertegaskan bahawa kita adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira apa jua latar belakang samada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam. 

75. Kita juga tidak seperti sesetengah pelaku politik, yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerun dan memesongkan pemikiran rakyat. 

76. Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiar dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam barang dijauhkan oleh Allah jua. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

77. Sebagai mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan kita berhimpun di sini bukan untuk saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk suka-suka. Seperti slogan yang popular, UiTM Dihatiku, makanya, Universiti Teknologi MARA ini sangat dekat di hati kita, sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cukup membanggakan. 

78. Bahkan, masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada Perhimpunan Agung tahun 2005, saya telah mengumumkan supaya enrolmen pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang tahun 2015. Kini, Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 pelajar. 

79. Pagi ini pula, saya ingin mengumumkan hasrat peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baru di seluruh negara. 


Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

80. Demi Melayu, Demi Bumiputera, Saya ingin mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah RM1 bilion bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk Matching Fund nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

81. Kita juga sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang tinggi kepada TERAJU bagi menakhoda agenda pembangunan Bumiputera. Kini, untuk membestarikan lagi TERAJU, sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah saya sendiri sebagai Perdana Menteri. 

82. Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU. Begitulah juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru saya wujudkan tadi. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

83. Sebagai payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan. Keahliannya pula bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang releven akan diundang. Majlis yang penting ini, akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari itu. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

84. Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini, kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana selagi ada bulan dan bintang selagi hayat dikandung badan survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila. 

85.Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai. 

HIDUP MELAYU 

HIDUP BUMIPUTERA 

HIDUP MALAYSIA 

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

PEMBERITAHUAN

    KOPERASI USAHAWAN MELAYU NEGERI SEMBILAN BERHAD(KUMNSB)ingin melantik Pengedar Tunggal di setiap Negeri bagi mengedarkan produk pertamanya : Collagen Drink Orange Flavour dan Strawberry Fiber Drink. Maklumat lanjut sila hubungi pejabat persatuan atau Pn. Intan 012-686 1069/06-763 1095.

BINA JENAMA ANDA BERSAMA KAMI

    AHLI PERSATUAN PPPKM-NS BOLEH MENGIKLANKAN PERNIAGAAN MEREKA SECARA PERCUMA DI LAMAN BLOG PERSATUAN. HUBUNGI ADMIN BLOG SDR TAJOL ARIFFIN ATAU TN HJ. ZUBIR

VISI DAN MISI

VISI : Melahirkan kalangan penjaja dan peniaga kecil Melayu menjadi seorang Tokoh Korporat yang berjaya.

MISI : Mencari seramai mungkin penjaja dan peniaga kecil Melayu untuk dididik dan dibantu dalam pelbagai aspek sama ada bantuan modal, khidmat nasihat dan peluang perniagaan.


PPPKMNS

SEPATAH KATA DARI YDP

Photobucket
YDP Negeri YBhg Dato' Dr. Hj. Zainol Hj. Ishak
Assalamualaikum W.B.T....

Syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya PPPKMNS bersama 9 cawangannya masih menjadi sebuah NGO yang membawa wadah perjuangan peniaga-peniaga kecil Melayu khususnya di Negeri Sembilan. InsyaAllah, peniaga-peniaga kecil Melayu yang dipayungi oleh sebuah pertubuhan mencerminkan perpaduan antara orang-orang Melayu dalam perniagaan. PPPKMNS bukan saja menjalin kerjasama antara sesama peniaga tetapi juga mewujudkan sikap tolong menolong antara sesama meraka.

Saya amat berharap YDP-YDP cawangan dapat memainkan peranan dalam setiap cawangan mereka. Barisan pengurusan tertinggi hendaklah jangan takut untuk berkongsi pandangan dengan ahli-ahli bawahan. Anggap setiap komen dan teguran sebagai salah satu cara memperbaiki pentadbiran persatuan. Saya mewakili pentadbiran peringkat Negeri juga sentiasa bersedia mendengar segala komen dan pandangan daripada seluruh ahli-ahli cawangan. Marilah kita bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dan tunjukan kepada orang ramai bahawa PPPKMNS adalah sebuah persatuan yang mempunyai budaya kerja berpasukan.

Meskipun ada beberapa masalah yang dihadapi oleh persatuan di peringkat cawangan, namun kebanyakannya telah dapat diatasi secara demokrasi. Saya telah ingatkan, akar umbi pentadbir atau ahli-ahli lama dalam PPPKMNS cawangan bukanlah mendominasi seluruh pentadbiran sehinggakan ahli-ahli baru kelihatan tiada peluang menduduki kerusi atasan cawangan. Prinsip yang saya amalkan selaku YDP Negeri adalah mudah, kita sentiasa menerima ahli-ahli yang boleh membuat kerja dan mempunyai komitmen tinggi dalam persatuan tanpa mengira mereka ahli lama atau baru. Jadi pada ahli-ahli baru janganlah berasa rendah diri dan kepada ahli-ahli lama pula, khidmat dan nasihat anda sentiasa kami alu-alukan walau di posisi mana anda duduk.

Marilah kita bersama-sama berdoa moga persatuan PPPKMNS ini mendapat berkahNya dan dimurahkan rezeki dalam perniagaan. Kita berjuang bukan sekadar atas nama Persatuan Peniaga kecil Melayu tapi jauh di sudut sanubari, kita adalah peniaga Melayu yang membawa mesej peniaga Islam yang berjaya juga. Sama-samalah kita angkat martabat peniaga Melayu dan peniaga Islam sekaligus. Terima kasih. Assalamualaikum...

Post Terbaru Blog Sahabat

IKLAN PERNIAGAAN






Untuk Banner Iklan - Hubungi: Hj Zubir; 017-6728 319, En. Tajol Ariffin Hasan; 01111-9898 74 atau Whatsapp (no yg sama) atau email: zubir.dahari001@gmail.com, feno_mena@hotmail.com




Photobucket

Afaal Resources - Perkhidmatan : Membekal Buku-buku akademik ke Perpustakaan, Membekal Peralatan Pejabat, bengkel, Membersih kawasan, Perkhidmatan Penyediaan Data Base, Perkhidmatan Pembersihan Kawasan. Sila klik ikon untuk maklumat lanjut.





Photobucket

GREEN WIDE GLOBAL

Menyediakan perkhidmatan cucian kenderaan. Sila kunjungi No. 133, Jln Acassia 9, Sikamat Acassia Country Height, 70400 Seremban, Negeri Sembilan.
Tel : 019-737 2090 (Nur Nabila).
Tel : 014-704 6702 (Norazlie).





Photobucket

"Kenikmatan menjalani kehidupan yang sihat dan produktif lebih bermakna apabila dikongsi bersama"

Ejen Zon Seremban, Negeri Sembilan.
Tel : 012-322 3523/019-638 1322(Wardah).





Photobucket

Menyediakan Perkhidmatan Teksi Sewa di sekitar Bandar Seremban. Hubungi :En. Mohd Yusof Wahab - 014-338 2082





Photobucket

Menerima Tempahan Untuk Membekal Jely Kelapa (Kedai-kedai, stesen minyak, majlis perkahwinan, hari lahir dan sebagainya). Hubungi :HJH RAYA BT MOHD NOOR Tel: 06-6774079




AL FALAH MARZUQ MARKETING - Perkhidmatan : Katering, membekal barang mentah, sejuk, beku, kering dan basah. Menjual mankanan/minuman Islam. Hubungi : Sdr Erie Yahya - 012-2404196, Sdr Aboy - 012 3410310.





Photobucket

Yongtaufu..Kami menjual yongtaufu di pasar-pasar malam terpilih! Sedia Menerima Tempahan Untuk pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, hari lahir, majlis berbuka puasa, dan sebagainya. Hubungi :Syam jerung - maxis-0173500970,
celcom-0132306031 atau
digi-0102065672


ANAS INDAH ENTERPRISE

Kedai No.4, Pusat Komersial Jln PKG 1, Pekan Gemencheh,
73200 Gemencheh,
Negeri Sembilan

Perkhidmatan : Stokis barangan - Produk kesihatan
- Produk Kecantikan
- Pakaian Dan Aksesori Wanita

Anas - 014-726 2281





Photobucket

Perkhidmatan : Membekal Peralatan Pejabat, bengkel, Membersih kawasan, Perkhidmatan Penyediaan Data Base dan Perkhidmatan Pembersihan Kawasan. Sila klik ikon untuk maklumat lanjut.





Photobucket

ESSJAY MARKETING. Perkhidmatan : Membekal bahan bacaan, alat tulis, Peralatan Pejabat, Bengkel, Cenderahati dan Perkhidmatan Pembersihan Kawasan. Hubungi Pengurus Pemasaran En. Tajol Ariffin Hasan - 011111-9898 74





Photobucket

TERATAI SYIRRA ENTERPRISE. Kontraktor Perkhidmatan & Pembekalan, Perkhidmatan Photostat, Laminating, Binding, Rubber Stamp, Name Card. Tawaran Photostat serendah 4 sen sahaja. Kunjungi kedai kami di No.51B Jln Cempaka, Bandar Baru Ampangan, 70400 Ampangan Seremban. Maklumat lanjut hubungi Syed Ali (Pengurus) - 017-651 4441. Email: teratai_sy@yahoo.com.my

Akhbar On-line