Lebih 50 koperasi di seluruh negara yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dibatalkan pendaftarannya tahun lalu berikutan pelbagai masalah termasuk penyelewengan dan gagal menjana pendapatan. Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin berkata, pihaknya terpaksa membatalkan pendaftaran koperasi terbabit selepas didapati tidak mempunyai potensi dan kurang aktif dalam perniagaan.
“Kami sudah memberi peluang, tetapi pihak berkenaan tidak menggunakan peluang itu sebagai batu loncatan untuk berjaya menyebabkan SKM terpaksa membatalkan pendaftaran mereka.
“Kebiasaannya ia membabitkan pelbagai masalah pengurusan tidak teratur termasuk akaun tidak diaudit melebihi tiga tahun, tidak melaksanakan sebarang program dan berlaku penyelewengan,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Hala Tuju Sektor Koperasi Negeri di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Sektor Pembangunan SKM, Jaapar Mohayat dan Pengarah SKM Terengganu, Osman Ismail. Beliau berkata, pihaknya menyediakan pelbagai kursus bagi membantu koperasi bermasalah menangani isu dihadapi mereka.
“Jika masalah tetap berlaku, SKM terpaksa mengambil tindakan tegas iaitu membatalkan pendaftaran sebagai pengajaran kepada koperasi lain.
“Biasanya SKM memberi tempoh tiga tahun untuk sesebuah koperasi bermasalah memulihkan keadaan sebelum membatalkan pendaftaran kerana kami enggan menanggung risiko terhadap masalah koperasi yang tiada masa depan dan hala tuju jelas,” katanya.
Menurutnya, di sebalik pembatalan pendaftaran lebih 50 koperasi, jumlah pendaftaran baru bagi tahun lalu amat menggalakkan apabila ebih 1,000 koperasi di seluruh negara mendaftar.
“Peningkatan jumlah itu menyebabkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mensasarkan pusingan perniagaan dan perolehan menjelang akhir 2012 sebanyak RM24 bilion.
“Bagi mencapai sasaran itu, koperasi perlu menceburi pelbagai cabang perniagaan seperti kewangan, pemborongan, peruncitan, penjagaan diri, peladangan, pertanian dan industri asas tani,” katanya.
Beliau berkata, SKM menyediakan pinjaman dalam bentuk geran sebanyak RM13.4 juta dan pinjaman modal RM100 juta bagi membantu koperasi menjalankan perniagaan.