Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya bagi merancakkan lagi kegiatan keusahawanan di negara ini.
Perdana Menteri berkata, kewujudan pusat tersebut adalah bersesuaian dengan fungsi Cyberjaya yang menempatkan syarikat-syarikat yang bergiat dalam bidang multimedia kreatif, penyelidikan dan pembangunan, khidmat luaran serta pengurusan data.
Menurut beliau, MaGIC bakal menjadi pusat sehenti kepada usahawan merangkumi segenap aspek termasuk permohonan pembiayaan kepada institusi perbankan serta penyaluran modal teroka kepada syarikat inkubator serta syarikat baharu yang berdaya maju.
"Kegiatan lain adalah pendaftaran harta intelektual dan penyediaan kemudahan latihan, bimbingan serta pementoran," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Kali Keempat di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry yang mewakili Presiden AS, Barack Obama; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Sidang kemuncak yang bermula hari ini hingga esok itu dihadiri lebih 4,000 peserta yang mewakili lebih 100 negara.
Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan turut berhasrat untuk melihat MaGIC menjalinkan kerjasama dengan Pusat Kegiatan Keusahawanan yang diilhamkan penubuhannya oleh Obama.
Terdahulu, Kerry dalam ucapannya menjelaskan secara ringkas tentang hasrat Obama untuk mewujudkan jawatankuasa bagi mengendalikan pusat tersebut yang bakal diketuai Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Penny Pritzker.
Perdana Menteri juga memaklumkan Malaysia berbangga menjadi tuan rumah program Usahawan Muda Global pada bulan depan.
Najib turut menyarankan enam prinsip yang boleh diambil oleh negara-negara yang menghadiri GES bagi menyediakan persekitaran yang kondusif terhadap kegiatan keusahawanan.
Beliau memberitahu, kegagalan perlu dilihat dari pendekatan berbeza agar para usahawan bersikap lebih berani untuk mencuba sesuatu yang dianggap mustahil untuk dilakukan.
"Negara seperti AS melihat kegagalan ketika memulakan perniagaan sebagai satu pengalaman yang berguna dan walaupun negara lain mempunyai tradisi yang berbeza, prinsip asas menggalakkan orang ramai untuk berusaha tanpa rasa takut terhadap kegagalan diterima secara meluas," ujarnya.
Sebagai contoh, kata Najib, Malaysia bersedia mengkaji semula dan menyelaraskan undang-undang kebankrapan bagi mengukuhkan jaringan keselamatan yang memberi ruang kepada para usahawan untuk pulih semula.
Selain itu, Perdana Menteri memberitahu, dua prinsip lain yang seharusnya diberi tumpuan oleh kerajaan adalah penggubalan dasar yang menggalakkan inovasi dan penyediaan dana bagi membiayai penyelidikan.
Tiga lagi prinsip yang ditekankan oleh Najib adalah mempermudahkan usaha memulakan perniagaan, meneruskan pelaburan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di semua peringkat dan berusaha ke arah memperluaskan integrasi serantau serta antarabangsa.
Kredit kepadaUtusan Malaysia