SEREMBAN - Anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Hasan Malek yang hari ini diumumkan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berazam untuk melaksanakan tanggungjawab yang baru diterimanya dengan baik, terutama dalam soal menjaga kepentingan dan hak rakyat sebagai pengguna.
Beliau berkata walaupun tugas sebagai menteri amat berat, namun beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai timbalan menteri sebelum ini untuk melaksanakan tugas itu sebaik mungkin demi memastikan kesejahteraan rakyat.
"Kementerian ini antara kementerian yang besar tanggungjawabnya dan saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang meletakkan kepercayaan kepada saya, para pengundi saya yang memilih saya di kawasan parlimen Kuala Pilah dan seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Chedang di sini.
Katanya adalah terlalu awal untuk menyatakan apa yang akan dilaksanakan selaku menteri di kementerian itu, bagaimanapun beliau berhasrat untuk terus melaksanakan sebarang dasar kementerian yang bersesuaian dengan program transformasi kerajaan.
Mengulas barisan kabinet yang diumumkan Najib hari ini, Hasan berkata ia satu kumpulan yang dapat mencernakan lagi aspirasi perdana menteri untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Katanya perdana menteri dilihat begitu bersungguh untuk memastikan kejayaan dasar transformasi negara dengan membawa masuk tokoh dan individu yang mempunyai kebolehan masing-masing.
"Apabila Datuk Seri Najib mengumumkan Presiden Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar dalam senarai kabinetnya saya turut terkejut, tapi inilah yang kita nampak usaha yang cuba dilakukan perdana menteri," katanya.
Hasan, 67, yang berkelulusan Diploma Pentadbiran Pembangunan Universiti Manchester, United Kingdom ialah bekas guru dan sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sebelum pilihan raya umum ke-13.
Sementara itu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yakin pelantikan Datuk Hasan Malek sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dapat memartabat gerakan koperasi sebagai institusi sosioekonomi yang mampu memanfaatkan rakyat negara ini.
Presiden ANGKASA, Profesor Datuk Dr Mohd Ali Baharum, dalam satu kenyataan hari ini, turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kuala Pilah itu atas pelantikan beliau sebagai menteri serta Pengerusi Barisan Nasional Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilantik timbalan menteri.
"Sebagai badan puncak gerakan koperasi di Malaysia, ANGKASA akan memberi sepenuh sokongan kepada Hasan dalam menerajui kementerian demi kemajuan dan kejayaan koperasi di negara ini," katanya.
Mohd Ali turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sentiasa memberi sokongan serta bimbingan kepada gerakan koperasi agar terus maju dan berjaya.
Sebanyak 10,200 koperasi berdaftar di bawah ANGKASA dengan keanggotaan individu kira-kira lapan juta orang
Kredit kepada BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan