AR RAHNU X'CHANGE, satu perkhidmatan di bawah Bank Rakyat menawarkan peluang perniagaan secara fancais kepada koperasi-koperasi seluruh Malaysia untuk sama-sama menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan pajak gadai Islam.
Ketua Hal Ehwal cawangan Bank Rakyat, En. Zainudin Ali berkata, Ar Rahnu X'Change menawarkan pinjaman mudah secara Islam sehingga 65% daripada nilai emas dengan kadar upah simpan hanya 65 sen bagi setiap RM100.00 nilai emas yang disimpan. Pajak gadai adalah pinjaman alternatif kepada pinjaman yang ditawarkan pajak gadai konvensional serta pemberi hutang lain. Ia mendapat sambutan menggalakan terutama dari kalangan orang-orang Melayu malah terdapat juga bangsa asing yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Bank Rakyat telah menambah cawangan Ar Rahnu X'Change ke 3 di Negeri Sembilan susulan sambutan memberangsangkan yang diterima oleh 2 cawangan sedia ada. Cawangan terbaru tersebut terletak di Kuala Pilah manakala 2 cawangan sedia ada ialah di Mantin dan Jempol.
Bank Rakyat mengalu-alukan pembabitan koperasi untuk menyertai program francais dengan membuka lebih banyak cawangan pajak gadai Islam Ar Rahnu X'Change. Setakat ini terdapat 32 koperasi di seluruh negara yang menyertai program berkenaan yang ditawarkan menerusi anak syarikat Bank Rakyat - Rakyat Management Services Sdn Bhd. Menurut En. Zainudin setakat ini terdapat 15 daripada 47 rangkaian Ar Rahnu X'Change di seluruh negara dimiliki dan diuruskan oleh Bank Rakyat sendiri manakala selebihnya diuruskan oleh koperasi melalui program francais.
Mungkin ALK Koperasi Usahawan Melayu Negeri Sembilan boleh memikirkan untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan Ar Rahnu X'Change ini.