MESYUARAT AJK NEGERI. PRA-POST MORTEM PROGRAM HARI PENJAJA PERINGKAT KEBANGSAAN
Saya berasa terpanggil untuk menulis yang kali ini mungkin mewakili isi hati saya sendiri selaku timbalan setiausaha PPPKMNS. Sebaik program Hari Penjaja selesai lewat 18 - 20hb Januari lalu, atas saranan beberapa orang AJK Negeri dan juga atas kesedaran saya sendiri; perlu diadakan satu mesyuarat khas yang dinamakan Mesyuarat Post Mortem Hari Penjaja Peringkat Kebangsaan. Antara tujuan mesyuarat itu adalah untuk menilai dan meng-KPI-kan status program tersebut. Bagaimanapun yang terjadi adalah mesyuarat yang telah diadakan pada 06hb feb itu akhirnya bertukar menjadi mesyuarat apa yang boleh saya namakan sebagai mesyuarat pra-post mortem sahaja berikutan tiada dokumen sokongan lengkap untuk menjadikan mesyuarat itu mesyuarat post mortem sebenar. Salah siapa? Sebagai antara orang yang bertanggungjawab atas urusan dokumentasi, saya sedia memikul sedikit sebanyak kesalahan tersebut.
Sebenarnya saya telah cuba mendapatkan sebanyak mungkin informasi tentang program hari penjaja tersebut terutama hal khemah dan agihannya kerana saya yang entah bila masa terlantik menjadi antara urusetia yang mengendalikan khemah mendapat juga input tentang agihan khemah ini meskipun dalam kapasiti yang paling minimum. Dalam bahasa mudahnya saya sepatutnya terbabit dalam urusan pengendalian agihan khemah tetapi tidak dapat melaksanakan tugasan sepenuhnya lantaran berlaku pertindanan tugas! Manakan mungkin saya dapat menjalankan sesuatu kerja yang dokumen untuknya 'kosong'. Setakat ke hulu ke hilir dengan berbekalkan air liur sahaja. Tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa kerana kesalahan ini sebenarnya tanggungan bersama. Iaitu kelemahan pentadbiran. Cuma yang kesalnya kerana AJK tidak mengambil pelajaran dari program hari penjaja peringkat negeri yang telah dijalankan di Kuala Pilah tempoh hari.
Apa yang terpapar di laman blog PPPKMNS beberapa waktu dulu tentang agihan khemah adalah berdasarkan andaian perkiraan yang telah saya buat bersama dengan YDP Negeri dan setiausaha kerjanya. Pengesahan untuk bilangan sebenar pembahagian khemah tersebut cuma boleh dibuat dan disahkan oleh setiausaha agung Gabungan PPPKM. Biarpun pada andaian itu perkiraan keluar masuk duit juga telah disediakan, saya sendiri pada mulanya tidak faham kenapa YDP Negeri tidak membentangkan dokumen tersebut dalam mesyuarat post mortem ini. Akhirnya barulah saya sedar yang akaun untuk program Hari Penjaja peringkat Kebangsaan ini bukan dibawah seliaan PPPKMNS sebaliknya oleh GPPPKM. Jadi sehingga peringkat gabungan mengunjurkan laporan lengkap program tersebut dari sudut pembahagian khemah sehingga akaun lengkap program, barulah peringkat Negeri boleh membuat analisa segalanya.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah status pengendalian program berskala besar itu sebenarnya di bawah seliaan siapa? Peringkat Negeri atau Kebangsaan. Dari sudut gerak kerja, yang nampak adalah pihak Negeri yang bertungkus lumus menguruskan segala serba serbi. Ini dari sudut NGO yang terbabit. Manakala dari sudut kerajaan atau saya namakan KPDNKK pula, KPDNKK Putrajaya menjadi tuan rumah atau pemain utama. Sehingga dikesempatan saya menghadiri beberapa mesyuarat dengan KPDNKK peringkat Negeri, banyak keputusan yang tidak dapat diputuskan bahkan oleh pengarah Negeri sendiri lantaran arahan utama datangnya dari pusat. Sudahlah tempoh persediaan menganjurkan program tidak sampai sebulan, segala serba serbinya pula menjadi kelam kabut lantaran masalah urus tadbir. Hal demikian juga berlaku pada persatuan penjaja peringkat Negeri (PPPKMNS) kerana arahan utama datangnya dari GPPPKM. Memang sepatutnya arahan utama itu datangnya dari pusat kerana program ini adalah program peringkat kebangsaan! Yang saya pertikaikan ialah sepatutnya diwujudkan satu urusetia khas gabungan antara AJK Pusat dan Negeri. Jadi kerjasama antara negeri dan gabungan akan mengelakkan masalah urus tadbir termasuk komunikasi. Sebagai contoh urusetia yang terbabit dalam pengendalian khemah. Jika barisan urusetia ini terdiri dari persatuan Negeri dan Gabungan, maka ia boleh diselesaikan dari awal lagi. Apabila urusetia Negeri membuat pembahagian khemah, pihak gabungan pula turut membuat pembahagian khemah sehingga berlaku pertindanan penyewa. Akhirnya untuk jalan penyelesaian segera, Dato' YDP Negeri terpaksa menyewa khemah tambahan sehingga 6 buah! Itupun tindakan tersebut memang benar-benar tindakan penyelesaian segera kerana tidak sampai sehari, MPS telah datang untuk merobohkan khemah tersebut.
Saya juga difahamkan terdapat tugasan yang menerima dua tiga arahan. Yang ini cakap macam itu, yang itu cakap macam ini. Jadi urusetia nak dengar cakap macam itu atau cakap macam ini? Saya juga tidak pasti, untuk program ini...siapa ketua sebenarnya untuk dirujuk jika timbul masalah?
Berkenaan urusetia khemah. Macam yang saya beritahu seawalnya, meskipun saya antara pembantu bagi urusan khemah ini; tapi saya tidak mempunyai apa-apa dokumen sokongan. Tiada senarai penyewa. Tiada susun atur khemah atau pelan tapak. Saya pun tidak tahu agihan khemah sebenar. Berapa peruntukan untuk Negeri, berapa peruntukan untuk Gabungan. Berapa peruntukan untuk Parlimen dan berapa peruntukan untuk KPDNKK (atau agensinya).
Dan sebagai orang yang terbabit secara utama dalam pengendalian laman blog PPPKMNS, saya juga tidak mempunyai maklumat tentang program hari penjaja peringkat kebangsaan ini sehingga pengisian yang mampu untuk saya kongsikan dalam laman blog ini amat terbatas. Saya cuba membuat rujukan dalam laman web untuk mencari input tambahan namun inputnya juga terlalu sedikit. Malang bagi program sebesar ini!. Tentu orang-orang di luar sana akan merujuk kepada laman blog PPPKMNS juga akhirnya untuk mendapatkan sebarang input tentang program. Malah kebanyakan input program yang terpapar dilaman blog inipun sebenarnya adalah input terkemudian. Contohnya tentatif program dan gambar banner program. Itu hanya saya dapatkan semasa program berjalan iaitu melalui buku program yang saya jumpa dikerusi orang ramai. Tentatif program yang saya minta 2, 3 hari sebelum program (dalam mesyuarat dengan PPDNKK Negeri Sembilan) untuk saya masukan dalam laman blog tidak saya perolehi. Pegawai PPDNKK memaklumkan kepada saya ia tiada pada mereka tetapi ada pada KPDNKK Putrajaya. Jika tuan-tuan melihat input tentang tentatif program hari penjaja ini memang tarikhnya sebelum program berjalan, tetapi itu semua saya 'setting' pada tarikh sahaja! Hakikatnya ia saya kongsikan selepas berlangsungnya hari penjaja!
Berbalik pada mesyuarat post mortem, saya akan usahakan untuk mendapatkan jumlah sebenar khemah dan agihannya. Selagi tiada data tersebut, selagi tiada sokongan dokumentasi, mesyuarat post mortem akan tergantung. Biarpun sebenarnya pada perkiraan saya, perkara ini amat mudah kerana ia hanyalah melibatkan angka-angka. Angka jumlah khemah. Akhirnya angka itu ditukarkan menjadi RM. Inilah isu utamanya yang saya nampak.
Apapun, kita semua bersangka baiklah. Jika kita tidak mempertahankan PPPKMNS ini, siapa lagi ? Cuma kita haruslah berkerjasama dalam situasi tulus ikhlas dan saling ingat mengingati. Hasil kesepakatan kita semua, segalanya akan berjalan lancar dan teratur. Semua perkara boleh diselesaikan asalkan semua orang tidak menyembunyikan sesuatu.