LEBIH satu juta ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia akan menikmati pengurangan yuran pendaftaran kepada RM50.00 bagi tempoh lima tahun, demikian diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Majlis Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia 27 Mei 2012 lalu. Mengakui golongan itu memainkan peranan besar dalam ekonomi negara, Perdana Menteri berkata, kadar tersebut adalah istimewa berbanding bayaran sedia ada antara RM130 hingga RM300.
Jelasnya, bayaran kompaun bagi kelewatan pendaftaran dan pembaharuan lesen juga dikurangkan kepada 50 peratus dan ia akan dilaksanakan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Jun hingga akhir tahun ini. "Sebab itu kita nak kemaskini pendaftaran supaya satu skim insurans berkelompok dapat kita sediakan. Butiran-butiran ini kita akan teliti dan maklumkan kemudian. Jika peniaga jatuh sakit, mereka akan dapat dilindungi dan juga kita akan fikirkan supaya mereka menikmati skim socso," katanya.
Upacara perasmian dilakukan oleh Perdana Menteri pada pukul 8.00 malam. Ketibaan beliau disambut paluan kompang dan diarak ke pentas utama sambil bersalaman dengan peniaga-peniaga.
Terdahulu ahli-ahli persatuan gabungan PPPKM tiba seawal 5.00 petang ke Dataran Merdeka dengan ratusan bas dari seluruh pelosok negeri termasuk dari Sabah dan Sarawak. Kehebatan ahli persatuan mula terserlah bila lagu 1Malaysia berkumandang dan diikuti gerakan lambaian tangan hadirin. Lebih 15,000 peserta yang hadir.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani dan YDP-YDP negeri. Ahli-ahli gabungan PPPKM Negeri Sembilan diketuai oleh YDPnya, YBhg Dato' Hj. Zainol Ishak. PPPKMNS sendiri menghantar 16 buah bas yang membawa seramai kira-kira 700 orang ahli-ahli cawangannya.
Dalam ucapan perasmian itu juga Perdana Menteri bersetuju atas permohonan Datuk Ramli supaya persatuan penjaja dan peniaga ini diletakkan di bawah satu kementerian yang mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diberi tanggungjawab.Tambahnya lagi, Datuk Seri Ismail Sabri adalah merupakan bapa kepada peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja kecil bagi mengadu segala hal perniagaan. Datuk Seri Najib berkata, kerajaan akan terus membela golongan peniaga dan penjaja secara berterusan. Golongan ini akan sentiasa dipastikan mendapat pembelaan sewajarnya.
Dalam temubual bersama YDP PPPKM Negeri Sembilan, Datuk Hj. Zainol Ishak mengucapkan terima kasih kepada PM kerana begitu prihatin kepada nasib penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga kecil Melayu. Beliau bagaimanapun berharap satu mekanisma yang menguntungkan kedua pihak (SKM dan PPPKM) dapat dibuat. Jalinan berterusan antara SKM dan PPPKM juga perlu dipastikan sentiasa ada kesinambungan. Dato' Hj. Zainol berharap selepas ini satu kunjung hormat ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dapat diadakan oleh PPPKM bagi membincangkan gagasan PPPKM secara lebih mendalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan