MESYUARAT KHAS AJK PPPKMNS telah berlangsung di Star-Fresh Agro Park pada 31/10/2012. Antara agenda yang dibincangkan ialah :-
- Perlantikan Ahli Majlis Penjaja Peringkat Negeri
- Program bersama SSM (KPDNKK)
- Program Penjaja 1 Malaysia
- Skim Perlindungan Insurans
- Maklumat Terkini Keahlian Daerah
- Mesyuarat Agung Cawangan dan Negeri
Semua YDP-YDP Cawangan menghadirkan diri pada mesyuarat khas ini. Terdapat sedikit kekeliruan berhubung perlantikan Ahli Majlis Penjaja Peringkat Negeri. Oleh kerana PPPKMNS mempunyai 9 cawangan, ia telah melebihi daripada kuota yang diperlukan untuk Ahli Majlis Penjaja kerana hanya 7 kerusi yang disediakan. Ada kalangan YDP cawangan yang berasa tidak puas hati. Bagaimanapun pengerusi mesyuarat merangkap YDP PPPKMNS Negeri, Ybhg. Dato' Hj. Zainol Ishak menjelaskan meskipun kuota telah cukup, PPPKMNS masih boleh mencalonkan 2 nama (YDP) yang tertinggal. Bagaimanapun keputusan muktamad sama ada YDP yang dicalonkan terpilih atau tidak, ia terpulang kepada Majlis Penjaja peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh YB Dato' Hj. Yunus Rahmat.
Mesyuarat juga membincangkan pelan pelaksanaan program bersama SSM. Hasil perbincangan ramai, mesyuarat telah memutuskan tarikh-tarikh berikut dipilih sebagai tarikh program tersebut :
- 03 November - Jempol
- 11 November - Port Dickson
- 20 November - Tampin
- 27 November - Rembau
- 03 December - Peringkat Negeri
- 10 December - Nilai
- 17 December - Klawang
Aturcara program bersama SSM ini antara lain ialah pendaftaran peniaga-peniaga dengan PPPKMNS, kemudahan pembaharuan lesen perniagaan di lokasi majlis kerana SSM akan membuka kaunter khas di setiap lokasi program, sesi penerangan berkenaan tawaran pembaharuan lesen RM50 untuk tempoh 5 tahun, dan beberapa sesi ramah mesra antara penjaja dengan SSM.
Para peniaga dan penjaja dijemput beramai-ramai datang memeriahkan program di lokasi-lokasi yang dicadangkan.
Pada mesyuarat itu juga diputuskan PPPKMNS akan menghantar lebih kurang 12 buah bas ke PICC di Putrajaya untuk menyertai Program Penjaja 1 Malaysia. Program peringkat Kebangsaan itu dijangka dihadiri puluhan ribu warga penjaja sebagaimana Majlis Ramah Mesra Penjaja dan Peniaga bersama Perdana Menteri yang diadakan pada 27 Mei lalu, yang berjaya menghimpun lebih kurang 50 ribu warga penjaja dan peniaga kecil Malaysia. Mesyuarat memutuskan agihan bas peserta ke PICC adalah seperti berikut :
- Tampin - 2 buah bas
- Jelebu - 1 buah bas
- Kuala Pilah - 1 buah bas
- Serting dan Lui - 2 buah bas
- Port Dickson - 1 buah bas
- Rembau - 1 buah bas
- Seremban - 3 buah bas
- Nilai - 1 buah bas
Adalah dijangkakan pada program itu nanti akan diumumkan beberapa inisiatif kepada warga penjaja antaranya berkenaan skim perlindungan insurans khas untuk warga penjaja dan peniaga. Meskipun telah mendapat gambaran awal berkenaan skim perlindungan insurans untuk warga penjaja dan peniaga serta jumlah perlindungan yang ditawarkan, Ybhg Dato' Hj. Zainol Ishak tidak mahu mengulas lanjut sehingga ia diumumkan oleh Menteri berkenaan.
Setiausaha PPPKMNS En. Ramli Malek pada mesyuarat tersebut sekali lagi mengingatkan kepada cawangan-cawangan agar segera mengemas kini senarai keahlian masing-masing sebelum melangsungkan mesyuarat agung cawangan. Tindakan itu juga perlu agar para peniaga tidak terlepas peluang menikmati skim perlindungan insurans yang ditawarkan KPDNKK. Mesyuarat agung cawangan pada kali ini adalah mesyuarat agung biasa yang tidak ada pemilihan. Laporan minit mesyuarat dan laporan kewangan perlu dihantar segera kepada setiausaha Negeri sebaik mesyuarat agung selesai diadakan.
Dalam lain-lain hal, ada YDP Cawangan yang melenting kerana PPPKMNS pusat tidak memaklumkan tentang mesyuarat khas secara bersurat. Setiausaha memohon maaf dan akan menambah baik cara atau sistem informasi persatuan dilaksanakan di masa akan datang. Bagaimanapun adalah diingatkan, jawatan YDP sebenarnya menuntut komitment yang tinggi dan memerlukan YDP mengorbankan masa dan tenaga. Mengharapkan pusat semata-mata adalah sesuatu yang merugikan YDP sendiri kerana kekuatan pusat sekarang cuma bergantung kepada seorang kerani!
YDP Negeri. Dato' Hj. Zainol Ishak menyelar sikap dan tindakan segelintir YDP cawangan yang hanya pandai mencari salah tetapi tidak menilai komitmen mereka sendiri dalam berpersatuan. Adalah sesuatu yang tidak wajar tambahan perjuangan sesebuah NGO yang amat bergantung kepada semangat kerjasama, pengorbanan masa dan tenaga semua pihak terutama pihak atasan termasuk YDP cawangan membuat kritikan yang akhirnya mencerminkan kelemahan diri mereka sendiri. Sepatutnya mereka bersama-sama bergabung idea dan tenaga untuk menambah baik persatuan bahkan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh persatuan induk.
Dato' Hj. Zainol Ishak memaklumkan cawangan-cawangan perlu menyokong Negeri untuk Negeri menjadi lebih kuat dan tidak hanya mencari kesilapan dan menyalahkan YDP Negeri. Penolong setiausaha Negeri En. Tajol Ariffin memaklumkan sebenarnya segala informasi terkini berkenaan PPPKMNS boleh dicapai melalui laman blog persatuan yang sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa. Dalam era modenisasi dan lambakan teknologi, seharusnya sebagai peniaga, perkembangan IT ini harus diikuti agar peniaga tidak ketinggalan sementelah dunia perniagaan yang semakin global sifatnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan