SHAMSUZARI Dumairi merupakan usahawan muda Kampung Bertam Baru dan dengan daya usahanya sendiri dapat meringankan beban penduduk di kampungnya dengan menawarkan perkhidmatan pembayaran bil pelbagai secara online dari rumah sahaja tanpa perlu ke pekan Gua Musang, Kelantan yang jaraknya 45 kilometer semata-mata untuk membayar bil.
Penubuhan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Bertam telah memberikan sumber inspirasi dan rezeki kepada usahawan muda contoh Kampung Bertam Baru, Shamsuzari Dumairi, 34 tahun. Melalui program " ICT Sebagai Platform Menjana Pendapatan Sampingan " anjuran PI1M kampung itu, beliau diberi pendedahan berkenaan pengenalan asas keusahawanan dan laman e-Dagang.
Beliau juga dibimbing untuk meneroka peluang kerjaya dan menjana pendapatan menerusi maya. Dengan penerangan dan bimbingan daripada petugas PI1M Bertam, beliau mengambil inisiatif dan bertekad untuk menjana pendapatan sampingan.
Shamsuzari menawarkan perkhidmatan pembayaran bil seperti Astro, elektrik, air dan telefon secara online dari rumahnya.
Idea ini timbul disebabkan keluhan penduduk sekitar yang perlu ke Gua Musang yang jaraknya 45 kilometer hanya semata-mata untuk membayar bil
Maka dengan pengetahuan IT yang ada, beliau mengambil peluang tersebut untuk membantu penduduk tempatan, di samping sebagai sumber pendapatan sampingannya.
Beliau juga mengusahakan perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan. Usaha yang dilakukan dapat menambah pendapatannya dan secara tidak langsung pula menyuntik semangat golongan belia untuk turut sama menjana pendapatan secara maya.