Kalau dulu, koperasi hanya sebagai tempat membantu golongan tertindas dengan skim padi kunca dan ceti, tetapi hari ini hala tuju gerakan koperasi lebih cenderung kepada bidang perniagaan yang lebih kompetitif.
Saya masih ingat lagi ketika mula-mula bertugas di Jabatan Pembangunan Koperasi (kini Suruhanjaya Koperasi Malaysia) pada tahun 1978.
Pada waktu itu, hanya terdapat 1,240 buah koperasi dengan sejuta anggota berdaftar. Angka tersebut jauh berubah apabila hari ini sebanyak 9,000 koperasi telah didaftarkan dengan keanggotaan melebihi tujuh juta orang.
Alangkah beruntungnya kalau semua koperasi yang ada sekarang mampu berjaya dalam aktiviti mereka dan memberi kemudahan yang baik kepada anggota-anggotanya.
Tetapi hakikatnya, terdapat 90 peratus koperasi yang aktif dan lebih 50 peratus daripadanya menjalankan perniagaan secara mikro iaitu jualannya kurang daripada RM200,000 setahun.
Persoalannya, kenapa perkara ini berlaku? Mungkin juga dengan bilangan koperasi yang banyak tanpa pengurusan yang baik belum mampu melahirkan koperasi yang berkualiti.
Semasa saya tinggal di Yamaguchi, Jepun sikit masa dulu, saya berpeluang melihat sendiri secara dekat gerakan koperasi di sana.
Mereka mampu menjana pendapatan tiggi dan memberi perkhidmatan terbaik kepada anggota-anggotanya. Rahsia kejayaan mereka kerana masyarakat Jepun mempunyai ciri-ciri disiplin kerja yang berkait rapat dengan tujuh prinsip asas koperasi.
Sebenarnya, kalau hendak berjaya, pengurusan koperasi perlu melihat kembali kepada prinsip asas tersebut untuk dijadikan panduan.
Tadbir urus yang baik dapat dihasilkan dengan mewujudkan satu sistem pengurusan yang telus, bertanggungjawab, adil, demokratik, penglibatan semua pihak dan responsif kepada kehendak anggota.
Dalam koperasi, ia merupakan tanggungjawab kepada semua pihak melalui amalan yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti.
Sikap anggota yang berpeluk tubuh dan enggan melibatkan diri dalam aktiviti koperasi atau mesyuarat agung boleh menyukarkan pembentukan tadbir urus koperasi yang baik.
Anggota Lembaga Koperasi (ALK) juga perlu bertanggungjawab untuk mengelola sesuatu koperasi apabila mereka dilantik dalam mesyuarat agung tahunan koperasi.
Peranan kakitangan dan pekerja koperasi juga tidak kurang pentingnya. Mereka juga boleh menentukan kejayaan sesebuah koperasi jika mampu melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.
Akhir sekali, bagi memastikan pengurusan koperasi yang telus dan cekap, peranan Audit Dalaman perlu diperkukuhkan. Mereka perlu melakukan semakan pengurusan secara berkala supaya sebarang kesilapan dapat dibetulkan segera.
Sekiranya, semua pihak memberi komitmen yang mantap dalam pengurusan koperasi di negara ini, saya yakin, kita boleh mengubah landskap gerakan koperasi supaya benar-benar mampu menjadi penggerak kepada ekonomi negara.
Coretan Minda - Datuk Md. Yusof Samsudin, Pengerusi Eksekutif SKM.